Sunday, 16 December 2012

Permainan Psikologi Thailand

Bunyamin (5), Safee (10), tunduk selepas tewas kepada Thailand
Kecewa. Namun saya sudah bersedia awal-awal lagi untuk menerima apa sahaja keputusan. Bukan kerana saya tidak yakin dengan kemampuan Harimau Malaya, tetapi saya ternanti-nanti apakah helah yang bakal digunakan Thailand sebagai tuan rumah. Jika diperhatikan, baik dari segi taktikal permainan, mahupun keadaan padang dan kemudahan yang disediakan, kita sebenarnya di bawa masuk ke ‘jerat’ pasukan gajah perang itu sedikit demi sedikit. Pada akhirnya, kita dibenarkan pulang dengan kekalahan memeritkan 0-2 (agregat 1-3) kepada mereka.
 
Padang tidak diperiksa AFF.
Tiada tempat persalinan, tandas, padang berlopak air, dan jaring gol berlubang. Begitulah layanan ‘kelas A’ yang diberikan kepada pasukan Malaysia. Secara tidak langsung hal ini mengganggu urusan sesi latihan. Pemain ditakuti tercedera dengan permukaan padang yang begitu teruk, maka Datuk K.Rajagobal tidak mahu mengambil risiko membiarkan pemainnya berlatih sepenuhnya di situ. Sehari kemudian, muncul pula cerita yang mengatakan padang di Stadium terlalu lembut. Tidak sesuai untuk latihan katanya. Pasukan diarah bergerak ke padang lain. Sekali lagi sesi latihan ‘dikacau’ Thailand.

Agresif untuk ‘panaskan hati’ pemain.
Sejak wisel berbunyi, penulis dapat memerhatikan corak agresif para pemain Thailand. Siku, bentesan keras, mencaci maki pemain kita, dilihat sengaja membuat pemain kita ‘panas’. Mereka berharap pemain kita akan membalasnya, untuk layangan kad dan seterusnya mengurangkan bilangan pemain Malaysia di atas padang. Strategi pikologi dan provokasi itu berhasil apabila Fadhli Shas yang bertindak membalas cacian itu menerima kad merah. Di situ saya dapat merasakan salah satu daripada apa yang Thailand mahukan dalam perlawanan itu sudah tercapai. Iaitu menyingkirkan pemain dengan teknik cacian (sehingga pemain marah lalu melakukan tindak balas). Hal ini memudahkan lagi ‘kerja’ mereka untuk menjerat Harimau Malaya.

Corak meletihkan.
Corak permainan mereka meletihkan kita. Hantaran-hantaran pendek, dengan skil dan kemahiran individu mereka hanya melemaskan kita. Kita hanyut ke sana ke mari untuk menutup ruang mereka masuk ke dalam kawasan gol. Cara mereka mengawal permainan wajar dipuji dan dipelajari oleh kita. Kita cukup ketinggalan dari aspek kawalan bola dan permainan. Penulis dapati kita terlalu kerap membuat hantaran jauh yang tidak ke mana, malah mudah didakap pemain pertahanan lawan. Ini satu ‘penyakit’ dalam bola sepak kita. Bila ini berlaku dalam perlawanan malam tadi, penulis sudah dapat meneka keputusan perlawanan. Sekali lagi, apa yang pasukan Thailand mahukan, berjaya, iaitu meletihkan pemain lawan dengan corak permainan mereka.

Thailand bermain cukup agresif
Rumusannya, corak permainan ‘tiki-taka’ (one touch football) dalam permainan bola sepak moden ini perlu kita terapkan dalam permainan kita. Cara ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga pemain, meningkatkan kawalan pasukan dalam permainan, dan membentuk permainan yang lebih tersusun. Selain itu, pemain-pemain Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi sebarang serangan psikologi dan provokasi pasukan lawan. Jangan sampai kita terperangkap. Pihak lawan kadang kala bertindak mengacau ‘mental’ kita sehingga akhirnya kita bertindak di luar kawalan diri dan hilang fokus dari tujuan asal kita berada di atas padang bola. Sekian, mengaum harimau terus mengaum, dan jangan pernah kenal erti putus asa.

No comments:

Post a Comment