![]() |
| Bunyamin (5), Safee (10), tunduk selepas tewas kepada Thailand |
Kecewa. Namun
saya sudah bersedia awal-awal lagi untuk menerima apa sahaja keputusan. Bukan
kerana saya tidak yakin dengan kemampuan Harimau Malaya, tetapi saya
ternanti-nanti apakah helah yang bakal digunakan Thailand sebagai tuan rumah. Jika
diperhatikan, baik dari segi taktikal permainan, mahupun keadaan padang dan
kemudahan yang disediakan, kita sebenarnya di bawa masuk ke ‘jerat’ pasukan
gajah perang itu sedikit demi sedikit. Pada akhirnya, kita dibenarkan pulang
dengan kekalahan memeritkan 0-2 (agregat 1-3) kepada mereka.
Padang tidak diperiksa AFF.
Tiada tempat
persalinan, tandas, padang
berlopak air, dan jaring gol berlubang. Begitulah layanan ‘kelas A’ yang
diberikan kepada pasukan Malaysia.
Secara tidak langsung hal ini mengganggu urusan sesi latihan. Pemain ditakuti
tercedera dengan permukaan padang
yang begitu teruk, maka Datuk K.Rajagobal tidak mahu mengambil risiko
membiarkan pemainnya berlatih sepenuhnya di situ. Sehari kemudian, muncul pula
cerita yang mengatakan padang
di Stadium terlalu lembut. Tidak sesuai untuk latihan katanya. Pasukan diarah
bergerak ke padang
lain. Sekali lagi sesi latihan ‘dikacau’ Thailand.
Agresif untuk ‘panaskan hati’ pemain.
Sejak wisel
berbunyi, penulis dapat memerhatikan corak agresif para pemain Thailand. Siku,
bentesan keras, mencaci maki pemain kita, dilihat sengaja membuat pemain kita
‘panas’. Mereka berharap pemain kita akan membalasnya, untuk layangan kad dan
seterusnya mengurangkan bilangan pemain Malaysia
di atas padang.
Strategi pikologi dan provokasi itu berhasil apabila Fadhli Shas yang bertindak
membalas cacian itu menerima kad merah. Di situ saya dapat merasakan salah satu
daripada apa yang Thailand
mahukan dalam perlawanan itu sudah tercapai. Iaitu menyingkirkan pemain dengan
teknik cacian (sehingga pemain marah lalu melakukan tindak balas). Hal ini
memudahkan lagi ‘kerja’ mereka untuk menjerat Harimau Malaya.
Corak meletihkan.
Corak permainan
mereka meletihkan kita. Hantaran-hantaran pendek, dengan skil dan kemahiran
individu mereka hanya melemaskan kita. Kita hanyut ke sana ke mari untuk menutup ruang mereka masuk
ke dalam kawasan gol. Cara mereka mengawal permainan wajar dipuji dan
dipelajari oleh kita. Kita cukup ketinggalan dari aspek kawalan bola dan permainan.
Penulis dapati kita terlalu kerap membuat hantaran jauh yang tidak ke mana,
malah mudah didakap pemain pertahanan lawan. Ini satu ‘penyakit’ dalam bola
sepak kita. Bila ini berlaku dalam perlawanan malam tadi, penulis sudah dapat
meneka keputusan perlawanan. Sekali lagi, apa yang pasukan Thailand
mahukan, berjaya, iaitu meletihkan pemain lawan dengan corak permainan mereka.
![]() |
| Thailand bermain cukup agresif |
Rumusannya,
corak permainan ‘tiki-taka’ (one touch football) dalam permainan bola sepak moden ini perlu kita
terapkan dalam permainan kita. Cara ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga
pemain, meningkatkan kawalan pasukan dalam permainan, dan membentuk permainan
yang lebih tersusun. Selain itu, pemain-pemain Malaysia perlu bersedia untuk
menghadapi sebarang serangan psikologi dan provokasi pasukan lawan. Jangan
sampai kita terperangkap. Pihak lawan kadang kala bertindak mengacau ‘mental’
kita sehingga akhirnya kita bertindak di luar kawalan diri dan hilang fokus
dari tujuan asal kita berada di atas padang bola.
Sekian, mengaum harimau terus mengaum, dan jangan pernah kenal erti putus asa.







