Sunday, 16 December 2012

Permainan Psikologi Thailand

Bunyamin (5), Safee (10), tunduk selepas tewas kepada Thailand
Kecewa. Namun saya sudah bersedia awal-awal lagi untuk menerima apa sahaja keputusan. Bukan kerana saya tidak yakin dengan kemampuan Harimau Malaya, tetapi saya ternanti-nanti apakah helah yang bakal digunakan Thailand sebagai tuan rumah. Jika diperhatikan, baik dari segi taktikal permainan, mahupun keadaan padang dan kemudahan yang disediakan, kita sebenarnya di bawa masuk ke ‘jerat’ pasukan gajah perang itu sedikit demi sedikit. Pada akhirnya, kita dibenarkan pulang dengan kekalahan memeritkan 0-2 (agregat 1-3) kepada mereka.
 
Padang tidak diperiksa AFF.
Tiada tempat persalinan, tandas, padang berlopak air, dan jaring gol berlubang. Begitulah layanan ‘kelas A’ yang diberikan kepada pasukan Malaysia. Secara tidak langsung hal ini mengganggu urusan sesi latihan. Pemain ditakuti tercedera dengan permukaan padang yang begitu teruk, maka Datuk K.Rajagobal tidak mahu mengambil risiko membiarkan pemainnya berlatih sepenuhnya di situ. Sehari kemudian, muncul pula cerita yang mengatakan padang di Stadium terlalu lembut. Tidak sesuai untuk latihan katanya. Pasukan diarah bergerak ke padang lain. Sekali lagi sesi latihan ‘dikacau’ Thailand.

Agresif untuk ‘panaskan hati’ pemain.
Sejak wisel berbunyi, penulis dapat memerhatikan corak agresif para pemain Thailand. Siku, bentesan keras, mencaci maki pemain kita, dilihat sengaja membuat pemain kita ‘panas’. Mereka berharap pemain kita akan membalasnya, untuk layangan kad dan seterusnya mengurangkan bilangan pemain Malaysia di atas padang. Strategi pikologi dan provokasi itu berhasil apabila Fadhli Shas yang bertindak membalas cacian itu menerima kad merah. Di situ saya dapat merasakan salah satu daripada apa yang Thailand mahukan dalam perlawanan itu sudah tercapai. Iaitu menyingkirkan pemain dengan teknik cacian (sehingga pemain marah lalu melakukan tindak balas). Hal ini memudahkan lagi ‘kerja’ mereka untuk menjerat Harimau Malaya.

Corak meletihkan.
Corak permainan mereka meletihkan kita. Hantaran-hantaran pendek, dengan skil dan kemahiran individu mereka hanya melemaskan kita. Kita hanyut ke sana ke mari untuk menutup ruang mereka masuk ke dalam kawasan gol. Cara mereka mengawal permainan wajar dipuji dan dipelajari oleh kita. Kita cukup ketinggalan dari aspek kawalan bola dan permainan. Penulis dapati kita terlalu kerap membuat hantaran jauh yang tidak ke mana, malah mudah didakap pemain pertahanan lawan. Ini satu ‘penyakit’ dalam bola sepak kita. Bila ini berlaku dalam perlawanan malam tadi, penulis sudah dapat meneka keputusan perlawanan. Sekali lagi, apa yang pasukan Thailand mahukan, berjaya, iaitu meletihkan pemain lawan dengan corak permainan mereka.

Thailand bermain cukup agresif
Rumusannya, corak permainan ‘tiki-taka’ (one touch football) dalam permainan bola sepak moden ini perlu kita terapkan dalam permainan kita. Cara ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga pemain, meningkatkan kawalan pasukan dalam permainan, dan membentuk permainan yang lebih tersusun. Selain itu, pemain-pemain Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi sebarang serangan psikologi dan provokasi pasukan lawan. Jangan sampai kita terperangkap. Pihak lawan kadang kala bertindak mengacau ‘mental’ kita sehingga akhirnya kita bertindak di luar kawalan diri dan hilang fokus dari tujuan asal kita berada di atas padang bola. Sekian, mengaum harimau terus mengaum, dan jangan pernah kenal erti putus asa.

Thursday, 13 December 2012

AFF Suzuki Cup 2012 Separuh Akhir Kedua, Thai. vs Mas.

 Ulasan Sebelum Perlawanan

Ada beberapa minit lagi game Thailand vs Malaysia nak mula. Saya melihat perlawanan ini sebagai cukup dinantikan oleh para peminat. Tertanya-tanya mampukah Malaysia? Segala-galanya masih samar, bernisbah 50:50. Kedua-dua pasukan memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Thailand Mantap.
Tidak ramai peminat bola sepak negara yang betul-betul berani mengatakan Malaysia pasti akan menang, kerana Thailand bukanlah calang-calang pasukan. Memetik kata-kata ketua pasukan negara, Safiq Rahim, "Kalau kita ingin menjadi pasukan hebat, kita kena lawan pasukan yang hebat". Ada kebenaran di situ. Saya bersetuju. Inilah cabarannya. Cabaran bergelar juara.

Teerasil cukup berbisa

Malaysia Perlu Yakin.
Tidak mustahil untuk menang. Teerasil Dangda, pemain Thailand yang cukup perlu diambil perhatian. Pergerakannya perlu diperhatikan dan dikawal rapi sepanjang perlawanan selagi wisel terakhir tidak ditiup pengadil. Apa-apa pun penulis mampu membuat kesimpulan, pasukan yang menjaringkan gol dahulu, ia bakal memenangi perlawanan ini. 

Datuk K.Rajagobal, pemikir strategi negara.

Akhir Kata.
Tentunya setiap minit perlawanan bakal ditonton dengan penuh debar. Pasukan ini mewakili negara kita, mencermini imej rakyat kita, membayangi siapa anak Malaysia. Namun menang kalah adat pertandingan. "It just a game". Biar menang, kita juara, negara dihormati, impian kita kecapi. Sebaliknya, jika kalah, biarlah dalam keadaan melawan, persembahan membanggakan, agar kami tidak terus terjerumus dalam kecewa.

p/s: Rasional dalam menerima keadaan bakal muncul pada masa hadapan.



Monday, 10 December 2012

Adiwira Penyelamat

"Semua faham!???", tanya Puan Nur Hikmah, pensyarah kelas ekonomi.

Diam membatu. Tiada respon dari kami para pelajar. Getir.

"Shakir!,(bukan nama sebenar), faham tak!? Cuba kamu terangkan semula apa yang kamu faham.".

Sentap.

"Alamak. Mana dia tahu nama aku ni", hati mula berbisik. Hairannya, selama ini tidak pula saya ada memperkenalkan diri saya kepada beliau.

Barangkali, dia sudah memerhatikan saya agak lama. Ada kira-kira 40 orang pelajar, namun saya menjadi sasarannya.

Saya terdiam. Saya memang tidak berapa faham. Saya percaya sahabat-sahabat sekeliling ada jua yang tak berapa faham. Namun mereka tidak muncul untuk bertanya seperti saya.

"Tadi saya tanya semua faham tak, tapi kenapa senyap. Sekarang ni kamu faham ke tak?", beliau menambah.

Suasana di luar bilik kuliah
"Shakir, cepat terangkan", beliau bertegas kali ini.

Saya cuba bertanya sahabat di sebelah, meminta bantuan. Namun, agak mengecewakan kerana mereka turut tidak faham sebenarnya.

Kelas menjadi sepi. Menanti penerangan dari saya.

Tiba-tiba, "Err, begini puan, keluk ini menyatakan tentang.....", seorang sahabat saya yang berada di belakang mula bersuara dan menerangkan apa yang diinginkan oleh Puan Nur Hikmah.

Rupa-rupanya, sahabat itu memiliki nama yang sama seperti saya, iaitu 'Shakir'. Dia ni memang pelajar yang selalu berjumpa dengan pensyarah dan rajin bertanya. Hal itu menyebabkan pensyarah mengenali namanya lalu memanggil nama 'Shakir' untuk meminta respon.

Terima kasih 'Shakir' kerana menjadi adiwira yang menyelamatkan saya di kelas pada tengahari itu.

p/s: Perlunya kita sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan. Mungkin?


Saturday, 8 December 2012

Kisah Sekeping Borang dan Sebotol Petrol

SEKEPING BORANG

"Dik, tolong akak boleh?" sapa seorang gadis yang lebih berusia dari saya.

"Tolong apa kak?", saya menjawab soalan dengan soalan.

"Belikan akak borang jawatan kosong ni. Nanti akak kirimkan duit sekali", balasnya menyatakan tujuan sebenar.

"Mmm...boleh kak, tapi lusa la, sebab esok saya tak sempat, ada hal sikit.", saya memberi cadangan.

"Ok", tenang kakak itu menamatkan perbualan.

Kakak itu sedang mencari kerja-kerja kosong di internet. Iklan dari UUM menawarkan jawatan yang berkaitan dengan dirinya. Lalu memohon bantuan saya untuk membeli borang tersebut di Bendahari UUM dengan harga RM5. Saya mendahulukan duit saya. Beliau tak sempat menghulur duit. Tidak mengapa, RM5, kalau RM50 mungkin saya tidak mampu mendahulukan ketika itu.

Jabatan Bendahari UUM, di belakang air pancut ini.
Dipendekkan cerita, borang itu sudah berjaya saya beli. Beliau menghulurkan saya RM10. Saya memulangkan RM5 sebagai baki. Beliau menolak dan berkeras untuk saya menerima RM10 itu. Dengan keadaan bersalah, saya menyatakan kepadanya,

"Kak, saya ikhlas ni tolong akak".

Beliau menjawab, "Tak apa adik, akak pun ikhlas bagi duit tu kat adik. Ambillah. Doakan akak dapat kerja ni ok. TQ."

SEBOTOL PETROL

Beberapa hari kemudian, motor saya kehabisan petrol. Kebetulan di luar sebuah pasar raya. Ada 3 orang saya jumpa, di tempat yang sama, di waktu yang berbeza.

Pertama, penjaga parking kereta. Beliau seorang yang bisu. Beliau menulis di atas sekeping kertas, mengarah saya meminta pertolongan "Pak Guard" pasar raya tersebut untuk meminjamkan motor, untuk saya membeli petrol (isi dalam botol kosong). Namun, "Pak Guard" itu baru sahaja memulakan tugas merondanya. Hilang dari pandangan.

Kedua, penjaga parking motor. Ramah. Tapi sedikit sombong. Beliau tiada motor, katanya kebetulan kawan dia hantar ke tempat kerja hari itu. Lalu membiarkan saya terkapai-kapai. Beliau buat tak tahu sahaja. Tidak menggerakkan inisiatif untuk membantu saya. Barangkali beliau pun sudah buntu. Aku cuba bersangka baik.

Ketiga, seorang budak berbasikal fixie. Kehadirannya, memang saya nantikan.

"Dik, tolong abang beli petrol dik. Boleh?", pinta saya sambil menghulurkan RM2 dan sebotol mineral kosong..

"Owh, boleh.",jawabnya penuh yakin.

Di dalam hati risau juga, kalau budak ni kebas duit RM2 itu dan tidak pulang semula. Namun, saya yakinkan juga di dalam hati, dengan Tuhan sebagai saksi.

Shell paling hampir, tapi masih jauh jika berjalan kaki.
10 minit kemudian, budak itu tiba dengan petrol di botol. Lalu saya menghulurkan tambahan RM2 sebagai upah. Juga tanda terima kasih kepadanya.

"Eh, tak apa bang, saya ikhlas", sambil tangannya menolak huluran saya.

"Eh, ambillah, kalau tak nak jugak, ambillah RM1 ni", saya tetap jua ingin meberi 'sesuatu' sebagai balasan.

Matanya merenung seketika, dan akhirnya menerima jua RM1 itu.

"Terima kasih dik", ucap saya mengakhiri pertemuan pada petang itu.


p/s: Ikhlas bantu orang, kelak, orang ikhlas membantu kita. InsyaAllah.

Wednesday, 5 December 2012

Cinta atau duit?

Sebenarnya, hari itu saya terjumpa seorang sahabat lama, Ali (bukan nama sebenar).

Cerita demi cerita, dia sedang menyambung pelajarannya ke tahap lebih tinggi lagi. Pinjaman MARA, kelas seminggu sekali. Berulang dari Jitra, Kedah ke Penang. Bersamanya ada sebuah buku.

"Tak jauh ke?", tanya saya.

"2 jam la, kelas 6.30 petang hingga 11malam", jawabnya.

"Naik kereta?, saya menambah.

"Naik motor je, jimat minyak sikit. Kalau kereta minyak dan petrol dah habis RM100. (Kalau motor tak sampai RM30 la). Ada rakan satu syarikat aku, kelas dia di KL, lagi jauh, setiap hujung minggu berulang alik Kedah ke KL", jelasnya, sedikit panjang.

Pelaburan. Perkataan yang terpacul di urat otak saya. Menambah nilai pada diri untuk kehidupan masa hadapan. Bersusah payah dengan kelas yang jauh.

"Macam mana belajar? Ok ke?", saya mengambil berat.

"Memang susah sikit la, biasa la, nak jadi profesional. Ada 5 paper dalam masa 3 tahun (6 semestar). 1 paper 1 semestar. Ada 1 semestar extra disediakan kalau-kalau ada paper yang tersangkut" balasnya, sedikit mengeluh. Tunduk. Ada secebis tekanan di raut wajahnya.

Saya memberi sokongan. Saya faham rasa itu. Rasa yang bergayut di hati. Bebanan, cabaran, dan amanah yang perlu dibawa. Demi sebuah cita-cita. 

Sukarnya cabaran itu. Bagaimana mahu menjadikannya mudah?

Cinta ialah jawapannya. Cinta kepada Tuhan. Cinta kepada ilmu.

Yakinnya saya akan cinta. Belajar ilmu itu kerana cintakan ilmu itu. Duit perkara ke dua. Cinta dahulu, dan kemudian duit akan menyusul kelak (bila dah berilmu, kerjaya lebih baik, pendapatan lebih tinggi). Berbekal usaha, tawakal dan pengorbanan sebagai syaratnya.

Kerana cinta, manusia sanggup buat apa saja. Gunakan ke arah kebaikan.

Merah dulu, kemudin hijau.




Tuesday, 4 December 2012

Selipar surau

Surau di fakulti perakaunan (FPK) merupakan antara surau yang selesa berbanding fakulti-fakulti lain di UUM. Surau ini digunakan oleh para pelajar dan kakitangan UUM yang terdiri daripada pensyarah, staf pentadbiran, dan lain-lain.

Satu hari, saya baru sahaja selesai kelas pagi, dan sempat makan tengahari bersama rakan. Waktu Zuhur tiba. Saya bergegas ke surau FPK. Sedang asyik membuka kasut dan stokin untuk berwudhu', perut saya tiba-tiba terasa 'kurang' selesa. Di sisi kanan saya ada sepasang selipar. Kelihatan bercahaya dari jauh. Saya sarungkan ke kaki dan segera ke tandas berhampiran.

Kira-kira 10-20 minit, flush ditarik. Lega. Sebaik sahaja keluar dari tandas, kelihatan seseorang menunggu saya di depan pintu tandas kira-kira 2 meter dari saya. Seorang pensyarah perakaunan. Beliau berkaki ayam. Matanya tunduk melihat ke bawah menghala ke selipar yang saya pakai.

"Selipar saya ni", bisiknya.

"Owh, maaf, saya ingat selipar wakaf surau", balas saya.Terkedu. Jujur. Bukan menipu.

"Eh, bukan",  jawabnya. Ringkas. Tenang.

Dengan gementar dan sedikit lucu bercampur baur, saya berlari-lari anak ke surau, mengambil kembali kasut kuliah, dan memulangkan selipar kepada beliau.

Berapa lama beliau tunggu di depan pintu tandas untuk menantikan seliparnya. Berkaki ayam pula. Selepas itu saya berhati-hati membezakan antara barang wakaf dan bukan wakaf.

Kurang lebih macam ni.



Monday, 26 November 2012

Mula

Kongsi cerita-cerita,
sebelum mati,
harap ada orang jumpa blog ini,
dan manfaatkan pengajaran-pengajarannya.