SEKEPING BORANG
"Dik, tolong akak boleh?" sapa seorang gadis yang lebih berusia dari saya.
"Tolong apa kak?", saya menjawab soalan dengan soalan.
"Belikan akak borang jawatan kosong ni. Nanti akak kirimkan duit sekali", balasnya menyatakan tujuan sebenar.
"Mmm...boleh kak, tapi lusa la, sebab esok saya tak sempat, ada hal sikit.", saya memberi cadangan.
"Ok", tenang kakak itu menamatkan perbualan.
Kakak itu sedang mencari kerja-kerja kosong di internet. Iklan dari UUM menawarkan jawatan yang berkaitan dengan dirinya. Lalu memohon bantuan saya untuk membeli borang tersebut di Bendahari UUM dengan harga RM5. Saya mendahulukan duit saya. Beliau tak sempat menghulur duit. Tidak mengapa, RM5, kalau RM50 mungkin saya tidak mampu mendahulukan ketika itu.
![]() |
| Jabatan Bendahari UUM, di belakang air pancut ini. |
Dipendekkan cerita, borang itu sudah berjaya saya beli. Beliau menghulurkan saya RM10. Saya memulangkan RM5 sebagai baki. Beliau menolak dan berkeras untuk saya menerima RM10 itu. Dengan keadaan bersalah, saya menyatakan kepadanya,
"Kak, saya ikhlas ni tolong akak".
Beliau menjawab, "Tak apa adik, akak pun ikhlas bagi duit tu kat adik. Ambillah. Doakan akak dapat kerja ni ok. TQ."
SEBOTOL PETROL
Beberapa hari kemudian, motor saya kehabisan petrol. Kebetulan di luar sebuah pasar raya. Ada 3 orang saya jumpa, di tempat yang sama, di waktu yang berbeza.
Pertama, penjaga parking kereta. Beliau seorang yang bisu. Beliau menulis di atas sekeping kertas, mengarah saya meminta pertolongan "Pak Guard" pasar raya tersebut untuk meminjamkan motor, untuk saya membeli petrol (isi dalam botol kosong). Namun, "Pak Guard" itu baru sahaja memulakan tugas merondanya. Hilang dari pandangan.
Kedua, penjaga parking motor. Ramah. Tapi sedikit sombong. Beliau tiada motor, katanya kebetulan kawan dia hantar ke tempat kerja hari itu. Lalu membiarkan saya terkapai-kapai. Beliau buat tak tahu sahaja. Tidak menggerakkan inisiatif untuk membantu saya. Barangkali beliau pun sudah buntu. Aku cuba bersangka baik.
Ketiga, seorang budak berbasikal fixie. Kehadirannya, memang saya nantikan.
"Dik, tolong abang beli petrol dik. Boleh?", pinta saya sambil menghulurkan RM2 dan sebotol mineral kosong..
"Owh, boleh.",jawabnya penuh yakin.
Di dalam hati risau juga, kalau budak ni kebas duit RM2 itu dan tidak pulang semula. Namun, saya yakinkan juga di dalam hati, dengan Tuhan sebagai saksi.
![]() |
| Shell paling hampir, tapi masih jauh jika berjalan kaki. |
10 minit kemudian, budak itu tiba dengan petrol di botol. Lalu saya menghulurkan tambahan RM2 sebagai upah. Juga tanda terima kasih kepadanya.
"Eh, tak apa bang, saya ikhlas", sambil tangannya menolak huluran saya.
"Eh, ambillah, kalau tak nak jugak, ambillah RM1 ni", saya tetap jua ingin meberi 'sesuatu' sebagai balasan.
Matanya merenung seketika, dan akhirnya menerima jua RM1 itu.
"Terima kasih dik", ucap saya mengakhiri pertemuan pada petang itu.
p/s: Ikhlas bantu orang, kelak, orang ikhlas membantu kita. InsyaAllah.


No comments:
Post a Comment